KONSEP Keluarga Malaysia memberi penekanan kerajaan kini tidak lagi bekerja sebagai satu pasukan, sebaliknya sebagai sebuah keluarga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Ahad, beliau berkata, konsep itu bermakna kerajaan mengamalkan sikap saling menyayangi antara satu sama lain.
"Keluarga Malaysia adalah saling memahami, saling bertoleransi dan saling menyayangi. Bukan sahaja menjaga diri kita sendiri, tetapi juga ahli keluarga yang lain. Konsep inilah yang diterapkan dalam kerajaan.
(Bermakna) Bukan lagi bekerja sebagai satu pasukan, tetapi bekerja sebagai satu keluarga. Terima kasih semua ahli Keluarga Malaysia. Kalian semua amat dekat di hati saya," kata beliau dalam hantaran itu pada Ahad.
Ismail Sabri sebelum ini telah melancarkan konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Kesembilan itu menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik menerajui tampuk kerajaan, pada 22 Ogos lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram