KWSP perlu dirombak semula — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 10 Nov 2021

KWSP menerima desakan orang ramai agar membenarkan kemudahan pengeluaran sebanyak RM10,000 secara 'one-off'.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dirombak semula dengan menjadikannya sebagai sebuah institusi yang menggabungkan pengurusan tabungan, bank dan perlindungan insurans.

Menurut pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr. Barjoyai Bardai, langkah berkenaan penting bagi kebaikan para pencarum KWSP untuk jangka masa panjang.

"Menerusi rombakan semula itu, KWSP boleh mengambil langkah menguruskan wang persaraan pencarum untuk dilaburkan bagi menjamin kehidupan pencarum selepas 20 atau 30 tahun bersara.

"Hasil pelaburan itu boleh disalurkan semula kepada orang ramai secara bulanan misalannya.

"Melalui kaedah seperti itu, pencarum boleh bersara dengan selesa meskipun pendapatan mereka sebelum ini rendah," ujarnya kepada Majoriti.

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan perlu menyediakan dana kerana KWSP adalah hak dan simpanan rakyat.

"Sejumlah 70 peratus daripada keluarga B40 serta 50 peratus daripada M40 yang mengeluarkan simpanan sebanyak RM5,000 ke bawah, dan (mereka) menyatakan pengeluaran itu hanya cukup untuk membantu selama tiga bulan sahaja," ujarnya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr Abu Sofian Yaacob menyarankan agar kerajaan memberikan kemudahan pinjaman dengan faedah yang rendah kepada para peniaga atau orang ramai yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

"Saya mohon kerajaan memudahkan urusan pinjaman kepada mereka dalam membangunkan semula perniagaan atau sesiapa yang kehilangan pekerjaan untuk menceburi bidang perniagaan mikro.

"Kerajaan tidak boleh terus memberi bantuan 'hand out' kepada rakyat sebaliknya bantu rakyat untuk berdikari dan boleh menyara pendapatan sendiri.

"Kerajaan juga boleh memberikan bantuan modal permulaan untuk orang ramai memulakan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai orang menceburi bidang keusahawanan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram