
HARI ketiga kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan calon-calon yang bertanding memulakan aktiviti menyantuni rakyat sejak awal pagi.
SELARI dengan pendekatan kempen norma baharu, rata-rata calon memuat naik aktiviti mereka di media sosial masing-masing.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Gue Teck dalam hantaran di Facebook rasminya pada pagi Rabu berkongsi aktiviti bersarapan pagi bersama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di salah sebuah kedai makan sekitar Klebang, Melaka.
“Makan sarapan pagi bersama Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim selepas dia selesai solat subuh di Majlid Kelebang Besar,” tulis beliau yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Anwar dijadualkan hadir untuk pelancaran Pelan Tindakan ‘Maju Bersama Harapan’ pada petang Rabu bersama pimpinan tertinggi PH yang lain di sebuah hotel di Melaka.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tidak ketinggalan memuat naik gambar beliau yang sedang bersarapan pagi di sebuah kedai makan.
Beliau yang juga Pengerusi PN Melaka menikmati sarapan itu selepas selesai menunaikan solat subuh.
Melaka membubarkan DUN pada 4 Oktober 2021 susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi merupakan wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram