PRN Melaka: PH pertaruh strategi baharu, BN kekal resipi lama


  • Massa
  • Rabu, 10 Nov 2021

PECAHAN undi Melayu tidak akan memberi kesan dalam pengundian kerana pengaruh Umno didakwa lebih kuat berbanding parti lain di Melaka. — The Star

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 merupakan antara agenda negara yang bakal menjadi tumpuan penduduk terutama di negeri bersejarah itu.

Perkembangan terkini PRN Melaka memperlihatkan penamaan 112 calon yang terdiri daripada wajah-wajah lama dan baharu yang bertanding sehingga enam penjuru di beberapa lokasi.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, PRN Melaka kali ini disifatkan menarik kerana strategi setiap parti berbeza terutama dalam mengetengahkan calon mereka.

prof nik ahamad kamal

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dilihat membawa ramai calon muda dan baharu sebagai taruhan dalam PRN kali ini.

"Saya melihat ini sebagai satu strategi PH sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang yang bakal menjadi pemula untuk pengundi muda (Undi 18).

"Mereka membawa wajah baharu sebagai perkenalan dan pendedahan bagi menarik minat pengundi untuk membawa perspektif baharu buat pentadbiran negeri Melaka," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, strategi ini mungkin menjadi satu kelebihan kepada PH, namun kelebihan Barisan Nasional dan Umno yang mempunyai akar umbi yang kuat di negeri itu tidak boleh diketepikan.

Jelasnya lagi, Umno pula membawa resipi lama dengan mengetengahkan ramai calon lama untuk PRN Melaka.

Hurainya lagi, ia secara dasar menjadi kelebihan buat parti itu mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi di Melaka.

"BN dan Umno mempunyai kelebihan untuk kembali menakluk Melaka kerana ramai pengundi di kawasan majoriti Melayu berpegang teguh dengan parti itu.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan ia bakal menjadi persaingan yang sengit kerana pecahan undi yang berlaku ekoran parti Pas dan Bersatu turut menurunkan calon mereka," ujarnya.

Tambahnya, meskipun berlaku pecahan undi Melayu, ia tidak akan memberi kesan dalam pengundian kerana pengaruh Umno lebih kuat berbanding parti lain.

Sementara itu, melihat kepada lokasi yang bakal memberi saingan yang menarik, Nik Ahmad Kamal menjangkakan lokasi N10, Asahan dan N02, Tanjung Bidara, Melaka perlu diberi perhatian.

Kongsinya, ini berikutan di Asahan, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (PH-PKR) berdepan saingan sengit enam penjuru manakala di Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu) bakal bertembung dengan bekas rakan separti iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Umno).

"Kedua lokasi ini bakal memberi saingan yang menarik kerana Idris kembali bertanding di tempat lamanya dan kemungkinan dengan pengaruh yang dia ada, beliau boleh mengenepikan lima pencabar lain.

"Saingan hebat juga akan dlihat berlaku antara Mas Ermieyati dan Ab Rauf yang kedua-duanya mempunyai pengaruh tersendiri bertanding di kubu kuat Umno," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nik ahmad kamal, PRN, Melaka, PH, PN, Umno, Pas, Bersatu, PKR, DAP