![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2021/11/07/1359480.jpg)
BILANGAN kes harian Covid-19 di negara masih dalam lingkungan empat angka, lebih-lebih lagi apabila kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk merentas negeri.
Walaupun 95.8 peratus golongan dewasa di Malaysia sudah mendapatkan dos vaksin lengkap setakat ini, namun ia sedikit sebanyak mewujudkan rasa bimbang dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, usaha itu sebenarnya dilihat sedikit sebanyak telah menyumbang kepada sektor ekonomi negara yang sedang pulih akibat pandemik.
Pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma mencadangkan supaya kerajaan mengunakan pendekatan lain selain daripada penutupan sempadan negara atau negeri dan dalam masa yang sama bertanggungjawab atas keselamatan rakyat.
Salah satu daripadanya ialah, pihak kerajaan boleh mewujudkan jawatan untuk memantau segala urusan perdagangan di kawasan yang zon merah.
"Kita perlu wujudkan jawatan pegawai contohnya 'Broker Sempadan' yang berfungsi untuk membantu peniaga dan pedagang berurusan di kawasan yang mempunyai kes jangkitan yang tinggi.
"Selain itu, mereka yang memasuki kawasan yang mempunyai kes Covid melebihi R-naught 1.0 perlu mendapatkan permit terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.
Madeline juga menyarankan agar 'gelombang perjalanan' diwujudkan bagi mereka yang menetap berdekatan dengan sempadan untuk melakukan perjalanan atas tujuan penting dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Tambahnya lagi, dia juga mencadangkan supaya proses bagi penduduk yang telah memenuhi syarat vaksin untuk mendapatkan suntikan mereka.
"Wujudkan 'gelombang perjalanan' bagi membenarkan penduduk yang telah mendapatkan dos vaksin lengkap untuk melakukan perjalanan atas tujuan penting seperti bekerja dan khidmat kesihatan.
"Segala aktiviti pelancongan domestik juga perlu disekat sementara sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal," katanya.
Tegas Madeline, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan adalah pilihan terakhir bagi mengatasi penyebaran wabak Covid-19 di negara jika sekali lagi berlaku gelombang peningkatan kes mendadak selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram