Sedikit menurun, 4,343 kes Covid-19 baharu direkod pada Ahad


  • Primer
  • Ahad, 07 Nov 2021

JUMLAH jangkitan harian Covid-19 menurun sebanyak 358 kes pada Ahad.

MALAYSIA mencatatkan 4,343 kes baharu Covid-19 pada Ahad, sedikit menurun berbanding 4,701 kes yang dicatatkan pada Sabtu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini meningkat kepada 2,506,309 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes sembuh pada Ahad adalah sebanyak 5,190 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 2,412,395.

Daripada keseluruhan jumlah kes baharu pada Ahad, Noor Hisham berkata, 4,334 kes adalah jangkitan tempatan manakala sembilan merupakan kes import.

"Daripada 4,343 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 68 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 4,275 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Tambah beliau, setakat jam 12 tengah hari 7 November 2021, seramai 554 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, 272 kes memerlukan bantuan pernafasan, jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak tujuh kluster baharu dikenal pasti pada Ahad, dengan jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 325. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram