Budak lelaki mati lemas dalam kolam renang buatan sendiri


  • 112
  • Ahad, 07 Nov 2021

POLIS mengklasifikasikan kes yang menimpa Rayyan Mikhail Azmi sebagai mati mengejut. — Gambar ihsan pembaca

SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia awal pagi Ahad, selepas dipercayai lemas dalam sebuah kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River dekat Tanjung Malim, Perak pada Sabtu.

Mangsa, Rayyan Mikhail Azmi pada mulanya didapati masih hidup dan diberi rawatan awal ketika ditemui bapanya.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superindan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, bapa mangsa menyedari anak lelakinya yang berumur setahun sembilan bulan tiada di dalam rumah dan menemukan anaknya lemas di dalam kolam buatan sendiri berhampiran rumahnya pada kira-kira 4.30 petang pada Sabtu.

"Bapanya telah membawa mangsa ke Hospital Slim River dan semasa itu mangsa didapati masih hidup dan diberi rawatan awal.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang tidak stabil. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 12 tengah malam tadi," katanya pada Ahad.

Sulizmie Affendy berkata, proses bedah siasat mangsa akan dijalankan pada Ahad untuk mengetahui sebab sebenar kematian kanak-kanak tersebut.

Katanya polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, lemas, kanak-kanak, kolam, slim river