Selamatkan ibu, dua lelaki maut lemas di Sungai Air Beruk


  • 112
  • Rabu, 03 Nov 2021

KEDUA-dua mangsa ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian. — Agensi

BERKORBAN nyawa demi ibu tercinta, dua lelaki maut selepas lemas ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, Gerik, Perak pada Selasa.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika mangsa, Abdul Rahman Ramli, 26, dan abang iparnya, Ahmad Asymuni Idris, 42, pergi ke sungai itu bersama bersama ibu, adik-beradik dan anak saudara.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, kedua-dua mangsa ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pihak kami dimaklumkan semasa mandi, ibu mangsa hampir lemas menyebabkan mangsa cuba untuk menyelamatkan.

"Wanita itu dapat diselamatkan, tetapi kedua-dua mangsa lemas dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Gerik di tempat kejadian," katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Katanya lagi, ibu mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat lemas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PDRM, lemas, maut, ibu, Sungai Air Beruk, Abdul Rahman