TULAR insiden seorang kanak-kanak perempuan didapati lemas di dalam kolam renang sebuah hotel di Melaka Tengah, Melaka.
Dalam satu hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook, Nik Azwan Mustapha memberitahu, kejadian lemas itu berlaku depan matanya sendiri pada Khamis (4 November).
Menerusi perkongsian Nik Azwan, seorang lelaki menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan tidak sedar diri di dasar kolam dewasa.
Jelasnya lagi, ibu bapa kanak-kanak itu tidak dapat dikesan selama 20 minit akibat pengunjung yang terlalu ramai di hotel pada cuti umum Deepavali.
Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan setelah menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) daripada orang awam yang berada di kawasan kejadian.
"Nasihat saya kepada kedua ibu dan ayah, mohon pantau anak masing-masing ketika bermain air semasa bercuti.
"Alhamdulillah setelah diberikan CPR selama 20 minit daripada orang awam, anak kecil ini kembali sedar. Mungkin dia baru lemas dua atau tiga minit sebelum ditemui," tulisnya dalam hantaran di laman Facebook.
Perkongsian Nik Azwan meraih lebih daripada 1,000 komen dan rata-rata warganet di Facebook menyuarakan kebimbangan mereka.
"Ya Allah syukur ada orang awam celik CPR! 20 minit CPR tu, kalau yang tak tahu silap haribulan dah declare budak meninggal!," kata pengguna Facebook, Laura Jack.
"Saya tak faham mak ayah yang jenis tak pantau anak dekat tempat bahaya macam kolam atau pantai. Tolong ekori anak anda, jangan leka," kata seorang lagi pengguna Facebook, Lillie Zamrie.
"Pentingnya belajar CPR. Mungkin kita dapat selamatkan nyawa seseorang...Alhamdulillah ya ALLAH," ujar pengguna Facebook, Fairuz Khatim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram