POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown selepas gagal hadir pertuduhan kes fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
""Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama (Clare Brown @ Clare Rewcastle Brown) diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Supt. Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asp Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.
"Penama dikehendaki bersabit waran tangkap eTA3507737 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah pada 21 November 2018 terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku 'The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose' dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Mahkamah Majistret pada 23 September lalu mengeluarkan waran tangkap selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya memohon perintah tersebut dikeluarkan terhadap tertuduh yang berumur 62 tahun itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram