Lima negeri beralih ke Fasa Empat PPN mulai Isnin


  • Primer
  • Jumaat, 05 Nov 2021

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. — Bernama

LIMA negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 8 November ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi kelima-lima negeri selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” menurutnya dalam kenyataan mengenai peralihan fasa PPN dan kelonggaran SOP.

Hishammuddin berkata, anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen.

Katanya, urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal bagi mengelak pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.

Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan hal lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di Pelabuhan Klang.

Hishammuddin berkata, berkuat kuasa 8 November ini juga, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan syarat ini dimasukkan dalam SOP.

Katanya, kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang belum atau tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan ketika ini, aktiviti makan serta minum di dalam stadium juga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat turut meluluskan pelaksanaan peralihan pengurusan Stesen Kuarantin Hotel kepada Stesen Kuarantin Swasta bermula tujuh hari selepas kelulusan.

Menurut Hishammuddin, pengurusan stesen kuarantin adalah berdasarkan Garis Panduan Pembukaan, Pengoperasian dan Pemantauan Stesen Kuarantin Swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram