Bapa Zulfarhan maafkan semua tertuduh


ZULKARNAIN dan isteri datang padanan dengan kemeja-T biru tua yang mengandungi slogan #justice4farhan, #sayNOtoBULLY dan #humanity.— The Star

"SAYA maafkan mereka," itu luahan bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain meskipun padanya kejadian yang berlaku empat tahun lalu itu terlalu berat untuk ditelan.

Menurut Zulkarnain Idros, 57, bagaimanapun dia kecewa kerana tiada seorang pun keluarga tertuduh yang datang kepadanya untuk meminta maaf bagi pihak anak mereka.

"Saya percaya kemaafan ini akan membuka ruang ketenangan atas apa yang berlaku.

"Tiada yang datang meminta maaf kecuali satu keluarga tertuduh, selebihnya hanya mengelak setiap kali kami bertemu di mahkamah semasa prosiding," katanya.

Tambahnya lagi, dia dan isteri, Hawa Osman, 58, datang ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dari Johor untuk mendengar keputusan kes.

Zulkarnain yang sepatutnya menjalani pembedahan pintasan, menangguhkan prosedur itu kerana baginya perbicaraan kes anaknya lebih penting.

Kedua-dua suami dan isteri datang padanan dengan kemeja-T biru tua yang mengandungi slogan #justice4farhan, #sayNOtoBULLY dan #humanity.

Sementara itu, Hawa berkata, dia berasa lega kerana hari keputusan akhirnya tiba.

“Saya sangat merinduinya. Dia akan berusia 25 tahun pada 29 November jika dia masih hidup

“Sebagai seorang ibu, saya amat sedih tetapi Alhamdulilah, kami dapat menghadapinya dengan sabar dan tabah,” katanya.

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia akibat kecederaan seterika wap empat tahun lalu.

Zulfarhan mempunyai kesan melecur dan lebam dan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang.

Perbicaraan bermula pada 29 Januari 2018, dengan seramai 31 saksi pendakwaan dan 20 saksi pembelaan.

Kesemua tertuduh diperintahkan membela diri pada 31 Julai 2019, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

18 pelajar yang kini berusia 25 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di Blok Asrama Jebat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi pada 21 Mei 2017, dan di bilik yang sama antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi pada 22 Mei tahun yang sama.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram