Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekal jawatan dalam Pas


  • Politik
  • Khamis, 04 Nov 2021

ABDUL Hadi mengekalkan jawatan sebagai Presiden selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar Pas ke-67. — The Star

JAWATAN Presiden Pas masih kekal disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar Pas ke-67.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jawatan Timbalan Presiden juga masih kekal milik Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kedua-dua pemimpin terbabit mempertahankan jawatan itu menerusi pemilihan sesi 2021-2023.

"Bagaimanapun, bagi jawatan Naib Presiden pula, kita mempunyai empat pencalonan termasuk seorang muka baharu bagi merebut tiga jawatan berkenaan," katanya.

Tambahnya lagi, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan Pas, calon-calon Naib Presiden yang dipilih adalah tiga orang seterusnya dalam muktamar.

“Kita memilih 18 orang Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang yang akan bertanding untuk mengisi 18 kedudukan dalam Ahli Jawatan Kuasa Pas Pusat.

“Satu lagi sepatutnya diadakan pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, tapi saya disahkan tidak ada pertandingan (untuk jawatan-jawatan itu),” ujarnya lagi.

Jelas Takiyuddin lagi, calon-calon Naib Presiden parti terdiri daripada, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Kata beliau lagi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini dicalonkan bagi bertanding sebagai Naib Presiden telah menarik diri daripada merebut jawatan itu.

Jelasnya, seramai 36 calon yang akan bertanding bagi merebut 18 tempat bagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

"Muktamar Tahunan ke-67 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan diadakan secara hibrid.

"Kali ini menyaksikan seramai 694 daripada 1,546 perwakilan akan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian," kongsinya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram