PRN Melaka: Tiada lagi perbincangan, kerjasama antara Umno — Bersatu


  • Politik
  • Isnin, 01 Nov 2021

MOHAMAD Ali berkata, sebarang kerjasama bersama Bersatu ditolak beberapa bahagian Umno di Melaka. — Bernama

SEBARANG kerjasama bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini ditolak oleh beberapa bahagian Umno negeri itu.

Ketua Bahagian Umno Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

"Keputusan yang kami buat adalah atas kehendak akar umbi. Ketetapan ini adalah yang terakhir kita buat. Maknanya kita tidak ada lagi perbincangan atau apa-apa pendekatan untuk bersama dengan Bersatu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ali juga mahu Umno memperkukuhkan Mufakat Nasional (MN) bersama PAS bagi menghadapi PRN berkenaan.

"Jadi saya menyeru kepada semua ahli UMNO dan PAS untuk kita bersama-sama dalam usaha memenangi PRN Melaka pada kali ini bagi kebaikan rakyat keseluruhan di Melaka," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bersatu, Umno, kerjasama