Walaupun tiada perhimpunan, memang ada pelanggaran SOP — Khairy


  • Primer
  • Selasa, 02 Nov 2021

PENGANJUR program membabitkan kehadiran Najib (kanan) dan Muhyiddin masing-masing dikompaun RM4,000 dan RM20,000. — The Star

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan lawatan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak di Melaka baru-baru ini.

Menerusi ciapan di Twitter pada Selasa, Khairy berkata, walaupun tiada perhimpunan, namun memang berlaku pelanggaran SOP membabitkan program kedua-dua kenamaan tersebut.

"Berkenaan program Muhyiddin dan Najib di Melaka, walaupun tiada ‘perhimpunan’, memang ada pelanggaran SOP," tulisnya.

Justeru, Khairy berkata, kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur program yang melibatkan kehadiran kedua-dua pemimpin tersebut berikutan kegagalan mereka memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program terbabit.

"Satu kompaun RM20,000 telah ditawarkan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin manakala kompaun RM4,000 telah dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Najib," katanya.

kj tweet 2

TANGKAP layar ciapan Khairy berhubung pelanggaran SOP membabitkan program kehadiran Muhyiddin dan Najib di Melaka, pada Selasa. — Twitter

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berasingan pada Selasa berkata, tawaran kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Mengikut Akta 342 kegagalan mematuhi SOP seperti tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan menyediakan pendaftaran MySejahtera boleh dikenakan kompaun.

Menurut KKM, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara.

"Pihak KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama PDRM akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

"KKM menasihati agar semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia," katanya.

Pada 24 Oktober lepas, Khairy dalam satu kenyataan berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram