Melaka bakal dapat Ketua Menteri wanita pertama?


  • Politik
  • Sabtu, 30 Okt 2021

PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini. — The Star

MELAKA mungkin bakal mencipta sejarah tersendiri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ini kerana, terdapat desas-desus dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti terbesar dalam PN, yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin merupakan antara individu yang disebut-sebut bakal menjadi Ketua Menteri sekiranya PN berjaya menawan Melaka.

Selain Mas Ermieyati, Pengerusi Bersatu Melaka, Datuk Rafiq Naizamohideen juga merupakan seorang lagi calon bagi mengetuai tampuk pemerintahan negeri.

Mas Ermieyati, yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkemungkinan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, manakala Rafiq akan mempertahankan kerusinya di Paya Rumput.

Rafiq dilihat tiada masalah untuk mengekalkan kerusinya, manakala Mas Ermieyati berdepan cabaran untuk menang kerana tindakan beliau meninggalkan Umno hanya beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, sebelum menyertai Bersatu, masih segar di ingatan para pengundi.

PRN Melaka bakal menjadi medan ujian buatnya kerana DUN Ayer Limau terletak di bawah Parlimen Masjid Tanah, yang merupakan kubu kuat Umno.

Di media sosial, penyokong parti itu turut melancarkan serangan terhadapnya, dengan melabelnya sebagai "Mak Lampir", dan mereka difahamkan tidak sabar untuk 'mengajar' bekas Ketua Puteri Umno itu.

Namun beliau dilihat tidak terkesan dengan perkara itu dan tampil berani menjadi muka hadapan bagi poster kempen PRN PN.

Bukan sahaja PN, parti-parti lain yang bertanding juga dilaporkan sudah mempunyai calon Ketua Menteri masing-masing, dengan Pakatan Harapan dikatakan sudah mempunyai tiga nama, manakala Barisan Nasional juga difahamkan mempunyai beberapa orang calon. — The Star