Jepun kurangkan tempoh kuarantin kepada pengembara


  • Berita
  • Selasa, 02 Nov 2021

SYARIKAT yang menjalankan perniagaan dengan pengembara perlu menyimpan rekod keberadaan mereka. — Agensi

JEPUN mengurangkan tempoh kuarantin kepada tiga hari berbanding 10 hari sebelum ini untuk pengembara yang sudah disuntik vaksin Covid-19.

Perkara itu dirancang kerajaan negara itu terutama buat pengembara perniagaan.

Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa seawal 8 November depan.

Berdasarkan laporan, ahli perniagaan yang tiba di Jepun diminta menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari.

Di bawah peraturan itu juga, mulai hari keempat, jika ujian saringan Covid-19 negatif mereka akan dibenarkan menggunakan pengangkutan awam dan makan di luar.

Bersama kebenaran itu, syarikat yang menjalankan perniagaan dengan mereka perlu menyimpan rekod keberadaan mereka.

Terdahulu, Jepun mewajibkan ketibaan antarabangsa untuk kuarantin kendiri selama 14 hari.

Ia bertujuan bagi membantu mencegah penularan Covid-19.

Pada Oktober, tempoh kuarantin dikurangkan kepada 10 hari bagi mereka yang telah selesai inokulasi.

Kerajaan turut merancang meningkatkan jumlah maksimum ketibaan luar negara daripada 3,500 sehari kepada 5,000, yang akan berkuat kuasa akhir bulan ini.

Sementara itu, pegawai bercadang untuk membenarkan kemasukan baharu penuntut asing ke negara ini, yang pada dasarnya telah dihentikan sebelum ini.

Ia bagi memulakan atau meneruskan pengajian di Jepun, dengan sekolah perlu mengawasi mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jepun, kuarantin, pengembara, perniagaan, Covid-19