Tempoh daftar Pakej PerantiSiswa bermula tahun depan


  • Primer
  • Isnin, 01 Nov 2021

PELAJAR IPT daripada keluarga B40 akan dibantu melalui Pakej PerantiSiswa bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian.

TEMPOH mendaftar untuk Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 memiliki peranti tablet bersama data jalur lebar mudah alih dijangka bermula pada suku kedua 2022.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan mudah alih terlibat untuk memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar.

Antara penyedia perkhidmatan mudah alih itu ialah Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti dan akses internet pada kos yang berpatutan.

Menurut MCMC, Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu akan membantu pelajar IPT menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan penghantaran mesej kepada keluarga dan rakan-rakan.

"Kini pelajar IPT daripada keluarga B40 boleh memiliki peranti dan akses internet untuk menjalani pembelajaran yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram