Peniaga muruku gembira sambutan Deepavali kembali meriah


  • Massa
  • Ahad, 31 Okt 2021

ORANG ramai membeli pelbagai jenis kekacang dan kerepek sempena sambutan Deepavali pada Khamis minggu depan. — Bernama

PERNIAGAAN Kacang Puteh Buntong kembali meriah dengan kehadiran pelawat selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan sejak 11 Oktober lalu, lebih-lebih lagi semakin hampir menjelangnya sambutan Deepavali pada Khamis ini.

Tinjauan Bernama di Kampung Kacang Puteh, Buntong, Ipoh, Perak mendapati kawasan industri Kacang Puteh yang dijalankan penduduk sejak sekian lama, tidak putus-putus dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan bekalan manisan, muruku dan kudapan untuk sambutan Deepavali atau sebagai buah tangan pulang ke negeri masing-masing.

Menurut seorang pengusaha generasi keempat perniagaan itu, T. Seenivasagan, 27, perasaan rindu melayani pengunjung termasuk pelancong dari seluruh negara kini terubat apabila jumlah kedatangan pembeli semakin meningkat setiap hari.

Pemilik premis Selvam Malar Enterprise yang berusia lebih 100 tahun itu berkata, antara produk paling laris menjelang sambutan Deepavali adalah muruku biasa dan achi muruku selain pelbagai biskut yang tersedia menanti pengunjung dalam pelbagai bekas plastik disediakan.

"Kami sangat gembira kerana perniagaan kembali pulih dan hasil jualan meningkat sebanyak 70 peratus iaitu tiga kali ganda berbanding ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya.

Sebelum ini, jualan kudapan di Kampung Kacang Puteh yang menjadi destinasi pilihan pelancong ke Ipoh dilaporkan merosot akibat pandemik Covid-19 dan larangan merentas negeri.

Seenivasagan yang dibantu isterinya G. Ellil Vinootteni, 27, berkata, beliau sebelum ini terpaksa memendekkan waktu bekerja dua kakitangannya namun kini menambah beberapa pekerja baharu bagi menampung permintaan dan kehadiran pengunjung yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, pertambahan kakitangan itu perlu bagi membantu kerja-kerja memproses, membungkus dan menjual produk dan operasi perniagaan kini dilanjutkan sehingga pukul 10.30 malam kerana menerima lebih 3,000 tempahan pelbagai kekacang, muruku dan biskut setiap hari.

Beliau percaya rahsia ramuan turun-temurun nenek moyangnya menjadikan produk keluaran mereka yang terdiri daripada lebih 40 kekacang dan kerepek, tetap mempunyai peminat tersendiri terutama bagi produk yang paling laris iaitu kerepek ubi, pagoda dan kerepek campuran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram