'Tiada parti politik, individu kebal daripada undang-undang'


  • Primer
  • Isnin, 01 Nov 2021

ISMAIL Sabri berkata, meskipun negara berada di Fasa Empat PPN, namun SOP yang jelas telah diumum kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). —The Star

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada parti politik mahu pun individu yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, meskipun negara berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah diumum kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jadi kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan, orang biasa kena kompaun dan orang kayangan tidak kena, undang-undang sama sahaja, jadi saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa parti politik telah dikompaun baru-baru ini kerana melanggar SOP, antaranya Barisan Nasional (BN) yang melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PKR Melaka yang mengadakan acara berkaitan pilihan raya, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

Ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, SOP, PRN Melaka