103 banduan meninggal dunia akibat Covid-19


  • Primer
  • Isnin, 01 Nov 2021

ANGGOTA kesihatan memasuki Penjara Reman Pulau Pinang untuk menghantar vaksin kepada banduan. — Gambar fail/Bernama

SERAMAI 103 banduan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 bermula 29 Ogos 2020 hingga 12 Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin (BN-Ranau).

Tambah beliau, seramai 46,550 banduan dijangkiti Covid-19 dalam tempoh sama manakala 45,848 lagi telah pulih.

Katanya, terdapat sebanyak 599 kes aktif setakat ini.

“Rekod menunjukkan 103 banduan meninggal dunia dalam tempoh yang sama dan mereka yang disahkan positif pada 13 Oktober lalu menurun kepada 60 orang.

“Sehingga kini, seramai 187,822 banduan telah melakukan ujian saringan Covid-19,” katanya ketika sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), yang bertanyakan jumlah kes Covid-19 serta kadar vaksinasi di penjara.

Jonathan berkata, seramai 31,691 banduan telah menerima satu dos vaksin, manakala 11,140 yang lain telah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya, lagi, 17,181 banduan telah menerima dos tunggal vaksin Covid-19.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Penjara telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program vaksinasi Covid-19 kepada banduan," katanya.

Jelasnya, program vaksinasi yang membabitkan banduan telah berjaya memandangkan banduan yang telah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 mencatatkan bilangan yang tinggi.

“Program ini akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan, bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Pasukan Petugas Khas Covid-19," katanya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banduan, vaksinasi, Covid-19