ANAK muda kini bakal memikul amanah dan kepercayaan besar untuk memilih kerajaan selepas pelaksanaan Undi 18 dilaksanakan 1 Januari tahun depan.
Pengenalan Undi 18 juga membuka ruang kepada golongan itu turut serta dalam menentukan masa depan negara pada pilihan raya akan datang.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, anak muda terutama yang berusia 18 tahun dinasihatkan agar tidak memilih calon parti mengikut emosi.
"Pengundi muda hendaklah menggunakan amanah dan kepercayaan ini dengan betul dan jangan mengundi mengikut emosi dan perasaan.
“Tetapi sebaliknya menggunakan rasional dan ilmu kefahaman dengan memilih sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.
"Mereka perlu memilih sebuah kerajaan yang baik bagi kebajikan diri mereka sendiri dan rakyat negara ini," katanya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Undi 18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini seperti yang Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak.
Ismail berkata, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan persediaan ke arah pelaksanaan Undi 18 hanya boleh dibuat menjelang September tahun depan, Kabinet tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Di Perak, lebih 495,000 pengundi berusia 18 tahun dan ke atas dijangka mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jumlah golongan itu yang mencecah hampir setengah juta dilihat akan memberi pengaruh besar terhadap keputusan pilihan raya akan datang.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak sekali lagi mengingatkan pengundi muda supaya memilih gabungan yang terdiri daripada parti dominan bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
"Saya ingin mengingatkan para pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan pada 2018 (pada PRU yang lepas) iaitu rakyat memilih kerajaan yang tiada satu pun parti dominan dan ini sangat bahaya pada kestabilan kerajaan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram