POLIS sedang melakukan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terbabit dalam kes penahanan warga Malaysia di Australia kerana disyaki menyeludup dadah, 16 Oktober lalu.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Razarudin Husain berkata, perkara itu tidak boleh didedahkan lagi.
"Kita masih siasat, memang ada penglibatan di sini (tetapi) kita tidak boleh dedah awal. Kalau kes (macam) ini makan masa kira-kira empat bulan. Kita jangka (ambil masa) satu hingga empat bulan. Macam-macam modus operandi (digunakan dalam kes ini), kes ini kompleks.
"Ini bukan kes tangkap ayam, hari ini kita dapat maklumat hari ini kita tangkap. Kita pun boleh buat begitu tetapi kita tidak akan dapat (tangkap) secara holistik keseluruhan sindiket terbabit.
"Kes ini masih dalam siasatan, kalau ada tangkapan (terbaharu) dalam kes ini kita akan maklumkan, ini maklumat daripada pihak Australia," katanya.
Sebelum ini, seorang warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan.
Kesemua bekalan dadah itu disembunyikan dalam kontena yang diisytiharkan membawa bungkusan berisi jubin. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram