FENOMENA air pasang besar dijangka melanda Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat di daerah Kuala Langat pada 3 hingga 7 November ini.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata, selain air pasang, peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini turut akan berlaku.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kios di kawasan terlibat.
"Dalam masa yang sama juga, MPKL akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, beliau turut menasihatkan, sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.
"Orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran agar menyimpan semua dokumen penting di tempat yang selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.
Amirul Azizan juga mengingatkan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini agar tidak mendekati atau memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai yang terlibat akan ditutup sepenuhnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram