Saya datang ke Melaka sebagai pelancong — Najib


  • Politik
  • Sabtu, 30 Okt 2021

NAJIB berkata, beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan kepada nelayan di Kampung Hailam, Tanjung Kling, Melaka ketika pemerintahan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini. — The Star

DATUK Seri Najib Razak menafikan lawatannya ke Melaka bagi tujuan berkempen untuk pilihan raya negeri, sebaliknya kunjungannya ke bandar bersejarah itu hanya sebagai pelancong.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau diwajibkan melawat Melaka berikutan menerima pelawaan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

"Saya datang berjumpa kawan lama saya (di Pantai Kundor dan Tanjung Kling) dan ia tidak dianggap sebagai kempen untuk pilihan raya akan datang," katanya selepas lawatannya ke jeti nelayan Kampung Hailam dekat Tanjung Kling, Melaka pada Sabtu.

Najib berkata, beliau juga berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan kepada nelayan di Kampung Hailam ketika pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuklah majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya, berkuat kuasa pada 25 Oktober ini hingga 27 November depan kerana mengambil kira situasi penularan kes Covid-19 ketika ini.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya negeri tidak lama lagi.

SPR menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon manakala 20 November adalah tarikh mengundi bagi pilihan raya negeri Melaka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Najib Razak, Melaka, PRN Melaka