
EMPAT negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor dijangka akan dilanda fenomena air pasang besar selama empat hari bermula 4 November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena itu dijangka bertambah buruk berserta angin kencang, ombak besar dan hujan lebat.
Selain itu, empat negeri berkenaan turut berdepan risiko banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.
"Orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada berdepan dengan fenomena air pasang ini selain memantau keadaan cuaca," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kawasan di Kedah yang dijangka akan terbabit dalam fenomena ini adalah Kuala Muda; Bagan Datuk (Perak); Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor (Selangor) serta Batu Pahat dan Pontian (Johor).
Pengunjung pantai dinasihatkan lebih berhati-hati dengan tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram