Bajet 2022 tidak cukup bantu sektor pelancongan terjejas


  • Bizz
  • Ahad, 31 Okt 2021

SEKTOR pelancongan mula pulih secara perlahan selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan sejak 11 Oktober lalu. — Bernama

PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan inisiatif berkaitan industri pelancongan yang diumumkan dalam Bajet 2022 pada Jumaat, tidak cukup untuk memulihkan dan merangsang pelancongan domestik negara.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata, pelepasan cukai individu sebanyak RM1,000 bagi pelancongan domestik dilanjutkan ke 2022 tidak memberikan impak ketara memandangkan penjimatan cukai hanya RM210 jika pembayar cukai di bawah kumpulan cukai 21 peratus.

Jelas beliau, MATTA sebelum ini meminta pelepasan cukai individu sebanyak RM8,000 daripada kerajaan.

"Tidak ada insentif cukai untuk syarikat tempatan yang melaksanakan insentif perjalanan atau cuti bagi kakitangan mereka di dalam negara meningkatkan pelancongan domestik.

"Walau bagaimanapun, kami menantikan dana insentif sebanyak RM60 juta untuk menggalakkan perjalanan domestik," ujarnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Tambahnya, penubuhan Pusat Pengembara Perniagaan baharu di Johor akan membantu menambah baik segmen pengembaraan perniagaan kerana lokasinya berdekatan dengan Singapura.

Jelas beliau lagi, Singapura sering menjadi penyumbang utama ketibaan pelancong asing ke negara ini dan ia menjadikan pendirian komersial yang baik untuk mempunyai pusat di Johor.

"Satu lagi langkah yang baik ialah usaha untuk memelihara alam sekitar di Malaysia kerana negara kita terkenal sebagai destinasi berasaskan alam semula jadi untuk pelancong antarabangsa.

"Program Nomad Digital Malaysia juga dialu-alukan kerana ia mewujudkan ekosistem digital serantau di negara ini dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkinnya dan akan mencetuskan pasaran baharu yang berpotensi untuk pemain pelancongan," katanya.

Dalam pada itu, berhubung dana pelancongan RM600 juta di bawah Pembiayaan Pelancongan Penjana dan Skim Rehabilitasi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Kok Liang berkata, perlu ada fleksibiliti dalam terma dan syarat untuk dana dan kadar faedah nominal wajar ditawarkan untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan yang tertekan untuk mengakses dana terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram