Mara bantu usahawan fesyen teroka pasaran TikTok, YouTube, Instagram


  • Bizz
  • Sabtu, 30 Okt 2021

MARA turut menyediakan kemudahan seperti khidmat nasihat dan bimbingan, pembiayaan perniagaan, dan geran pemasaran.

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memberi fokus kepada program pendigitalan dalam pengurusan perniagaan dan juga platform pemasaran dalam usaha untuk membantu usahawan dan pereka fesyen.

Ia juga merupakan langkah proaktif bagi membantu sektor berkenaan untuk bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman, program pendigitalan merupakan langkah yang sesuai memandangkan trend pemasaran secara platform e-dagang akan meningkat lebih daripada dua kali ganda pada tahun 2024.



ZULFIKRI turut memberitahu Mara turut menganjurkan MIF sebagai platform buat usahawan muda untuk mengembangkan identiti dan empayar fesyen mereka.

"Berdasarkan laporan dari Statista, pendapatan e-dagang dunia untuk tahun 2021 dijangka mencecah lebih AS$758 bilion (RM3.14 trillion) dan jumlah itu juga dianggarkan akan mencecah AS$953 bilion (RM 3.95 trillion) pada 2024.

"Ini menunjukkan bahawa terdapat potensi besar untuk pasaran dalam talian buat usahawan fesyen tempatan raih bagi membangunkan semula perniagaan mereka dalam tempoh mencabar ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi beramah mesra Mara In Fashion (MiF) bersama media di Bangunan Mara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya lagi, selain memberi fokus kepada platform pendigitalan, Mara juga menyediakan kemudahan seperti khidmat nasihat dan bimbingan, pembiayaan perniagaan, dan geran pemasaran.

Jelasnya, Mara turut membantu usahawan dalam memasarkan produk ke platform online seperti Zalora, FashionValet dan lain-lain lagi.

"Mara juga memberi bimbingan kepada usahawan dalam mengukuhkan pemasaran digital seperti laman sosial dan video TikTok, Instagram serta YouTube.

"Selain itu, kami turut membantu meningkatkan kesedaran jenama kepada orang ramai dalam jangka panjang," ujarnya.

Sementara itu, Zulfikri menjelaskan dalam merancakkan lagi industri fesyen tanah air, peganjuran program keusahawan Mara In Fashion (MIF) merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan pendapatan usahawan melalui pengukuhan penjenamaan dan pemasaran serta kelestarian perniagaan.

Kongsinya, program berkenaan juga membantu sektor ekonomi negara dengan membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia.

"Program ini mampu melahirkan usahawan yang mempunyai identiti tersendiri secara tidak langsung menjadi pencetus trend fesyen dalam industri.

"Sama ada sebagai usahawan fesyen atau berkhidmat dengan syarikat di dalam industri fesyen, MIF merupakan platform buat usahawan muda untuk mengembangkan identiti dan empayar fesyen mereka," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MARA, MIF, fesyen, usahawan, pereka, pendigitalan, Covid-19