PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberikan beberapa cadangan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam usaha memastikan platform media massa relevan sebagai kempen secara maya.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan berkenaan adalah penting supaya rakyat mendapat maklumat sahih dan tepat tentang 'manifesto' yang akan diberikan oleh parti yang bersaing dalam PRN Melaka pada 20 November kelak.
Jelasnya, segala cadangan atau pandangan bagaimanapun akan disalurkan melalui menteri-menteri kabinet yang mewakili Bersatu bagi memastikan hubungan harmoni dalam kerajaan Persekutuan tidak terjejas.
"Kita ada beberapa pandangan selain sedikit kebimbangan tentang boleh atau tidak rakyat mendapat maklumat yang tepat melalui kempen secara maya.
"Saya rasa sebagai menghormati hubungan kita dalam kerajaan Persekutuan, lebih baik kalau cadangan tersebut kita bagi dalam saluran dalaman," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas, Melaka pada Isnin.
Tambah beliau, parti berkenaan sememangnya akur dengan SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun mengakui akan berdepan sedikit cabaran dalam berkempen melalui medium digital.
Ujarnya, keputusan itu dihormati demi kebaikan semua pihak agar rakyat tidak terkesan dari segi faktor kesihatan dan menjadikan PRN Sabah sebagai pengajaran.
"Saya harap dalam norma baharu ini semua pihak yang mengambil bahagian dapat berkempen dengan cara bertanggungjawab dan tidak sebarkan maklumat tidak tepat atau palsu," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram