Bajet 2022 bukti kerajaan tangani ketidaksamaan asas jantina


  • Massa
  • Sabtu, 30 Okt 2021

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul ketika menyampaikan ucapan Bajet 2022 pada Jumaat. — Bernama

PERTUBUHAN Pertolongan Wanita (WAO) pada Sabtu menyifatkan Bajet 2022 sebagai platform yang baik untuk menangani ketidaksamaan asas yang menghalang pembangunan dan kesejahteraan golongan wanita di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan berkata, bajet itu juga menyentuh berkaitan isu jantina termasuk keganasan terhadap wanita, pekerjaan, kesihatan dan perlindungan sosial.

"Terdapat beberapa pengumuman penting, misalnya, RM13 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu selain melaksanakan Skuad Waja bagi program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara.

"Secara keseluruhannya, walaupun kami mengakui terdapat penekanan peruntukan mengenai gender dalam belanjawan, kami juga merasakan belanjawan seharusnya lebih bercita-cita tinggi, terutamanya apabila jurang gender yang semakin melebar berikutan wabak pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara di Seremban, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berpendapat usaha kerajaan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita mampu merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.

Katanya, peruntukan itu harus disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan bukannya berdasarkan senarai yang sedia.

"Lebih ramai wanita terutama ibu tunggal dapat melibatkan diri dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tan turut memuji usaha kerajaan yang akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40.

Bagaimanapun, beliau berkata sistem penyampaian harus diteliti supaya usaha ini mencapai objektifnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023, beliau berkata ia harus diperluaskan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bajet 2022, wanita, peruntukan, kebajikan, bantuan