Jika tidak boleh ikut dasar kerajaan, ramai lagi boleh isi jawatan — Cuepacs


  • Massa
  • Selasa, 19 Okt 2021

PENJAWAT awam akan diberi kaunseling terlebih dulu dan jika berdegil untuk ambil vaksin baru tindakan dibuat.

PEKELILING Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan tidak bersifat kejam dan tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang berdegil.

Berdasarkan daripada pekeliling yang turut dipersetujui Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs) itu, tindakan hanya dibuat selepas sesi pertemuan dan kaunseling dilakukan

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum apa-apa keputusan dibuat berkaitan tindakan.

“Orang awam sedang memerhatikan penjawat awam dan tindakan terhadap mereka yang tidak mahu divaksin adalah keadilan buat pekerja bidang lain. Kita tidak mahu timbul sebarang persoalan.

“Sekarang ramai yang hilang punca pendapatan. Jadi kalau ada penjawat awam yang tidak boleh ikut dasar kerajaan, mungkin ada ramai lagi yang boleh isi jawatan itu.

“Apa pun ia bukan menjurus kepada menghukum tetapi mendidik. Mereka yang tidak divaksin akan diajak berjumpa dan lalui sesi kaunseling.

“Kalau itu pun ‘tak jalan’ dan mereka berdegil, barulah kita akan buat tindakan,” katanya kepada Majoriti.

Menerusi pekeliling yang ditandatangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai tarikh pelaksanaannya pada 1 November ini.

Mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Namun jika pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas faktor kesihatan, mereka boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, secara tidak langsung pendekatan ini dapat memastikan urusan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Sekarang penjawat awam adalah frontliner. Persetujuan ini adalah untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas dan dapat menimbulkan keyakinan orang awam terhadap penjawat awam sebagai pelaksana dasar kerajaan.

“Penjawat awam kena laksanakan dulu dasar kerajaan sebelum dipanjangkan kepada orang awam. Kalau kakitangan kerajaan pun tidak boleh ikut, macam mana orang mahu yakin.

“Soal itu (halangan untuk disuntik atas faktor kesihatan), kita serahkan kepada pakar perubatan untuk tentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” katanya.

penjawat awam, adnan mat, Cuepacs