Cuepacs mohon kerajaan lanjut tempoh tutup akaun kerajaan


  • Massa
  • Sabtu, 23 Okt 2021

ADNAN (dua dari kiri) turut mengatakan lanjutan tempoh itu memberi peluang MOF rangka program baharu untuk menyokong sektor sosioekonomi. — Agensi

KONGRES Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon agar Kementerian Kewangan (MOF) melanjutkan tempoh penutupan akaun kerajaan kepada 1 Disember dan bukannya 31 Oktober seperti ditetapkan sekarang.

Presidennya, Adnan Mat menegaskan lanjutan tempoh berkenaan amat penting untuk MOF meneruskan usaha membantu rakyat.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang amat panjang dan keberadaan penjawat awam di pejabat yang masih belum mencapai kapasiti 100 peratus, bermakna masih banyak kerja-kerja yang belum selesai.

"Sehingga kini pejabat kerajaan dan kementerian baru sahaja beroperasi 80 peratus serta banyak lagi inisiatif serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) belum dapat dicapai sepenuhnya.

"Melalui lanjutan ini, MOF berpeluang merancang program yang boleh menyokong sektor sosioekonomi pulih dengan lebih cepat yang menjadi peranan perkhidmatan awam ketika ini," katanya selepas merasmikan program Cuepacs di Sarawak, Kuching pada Sabtu.

Tambah beliau, menerusi maklum balas yang diterima Cuepacs, banyak peruntukan kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan belum dapat dibelanjakan lagi.

"Sepatutnya kecanggihan sistem akaun kerajaan boleh proses penutupan akaun dua minggu sahaja," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Cuepacs, Adnan Mat, Sarawak, MOF, akaun, kerajaan