Pengundi muda Sarawak dibenar undi selepas 31 Disember


  • Politik
  • Khamis, 28 Okt 2021

WAN Junaidi ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. — Bernama

PENGUNDI muda akan dibenar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya pilihan raya itu diadakan selepas 31 Disember.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pelaksanaan Undi18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi18 ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.

"Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari ini, kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Disember, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022), kita kena akur dengan arahan mahkamah,” katanya.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua berkata, ia secara amnya bertujuan memantapkan sektor perundangan dan perkhidmatan peguam bela di Sabah.

"Proses Penggubalan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 ini melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi yang diperlukan,” jelasnya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram