PRN Melaka: SOP tidak mesra demokrasi boleh cetus pertikaian mahkamah


  • Massa
  • Rabu, 27 Okt 2021

SOP PRN Melaka bakal menjadi contoh kepada proses pilihan raya yang seterusnya. — Gambar hiasan

UNDANG-UNDANG yang tidak 'mesra' demokrasi dilaksanakan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sewajarnya dielakkan bagi berlakunya percanggahan daripada aspek Perlembagaan dan boleh menyebabkan berlakunya isu cabar-mencabar dalam kalangan parti politik.

Menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib, pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memberi tumpuan tentang menyediakan instrumen teknikal berhubung soal prosedur operasi standard (SOP) berbanding menyekat kebebasan setiap parti untuk berkempen secara fizikal.

"Apa yang paling penting, menyediakan asas model teknikal yang perlu ada sepanjang pilihan raya. Model ini akan menjadi contoh kepada pilihan raya yang seterusnya seperti di PRN Sarawak atau Pilihan Raya Umum (PRU).

"Asas utama adalah penyediaan manual yang konkrit. Contohnya proses kawalan sepanjang PRN. Tubuh satu pasukan petugas khas untuk memudahkan dan memantau perjalanan PRN serta pematuhan SOP.

"Saya bimbang apabila SOP yang tidak mesra demokrasi diteruskan, bakal berlaku pertikaian keabsahan keputusan pilihan raya di mahkamah dan sebagainya kelak.

"Biarlah PRN kali ini dibuat tanpa prejudis. Kalau ada prejudis, akan merosakkan nama baik negara dan menjadi pertembungan parti-parti politik serta rakyat menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi Majoriti pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut tentang ada pihak berpendapat SOP PRN Melaka perlu dilonggarkan dan berkempen menggunakan media sosial adalah kurang efektif dalam menyantuni pengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Umno akan menentukan kemenangan pakatan berkenaan dalam PRN Melaka.

"Kalau Umno bertanding solo, susah hendak menang selesa dengan 13 kerusi. Sekiranya berlakunya pertembungan tiga penjuru, saya merasakan PN akan menang.

"Jika Umno bersama PN, Barisan Nasional (BN) bakal menang dengan majoriti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram