Tiada rekod pengakuan suspek bunuh pesara tentera


MAHKAMAH menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat. — Bernama

TUDUHAN membunuh seorang pesara tentera dua minggu lepas mengakibatkan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taping, Perak pada Rabu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh anggota tentera berpangkat Pegawai Waran, Mohd Hafidz Ibrahim, 34, dan peniaga, Muhammad Ahmad Md Yusoff, 31, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farah Syahidah Mohd Noh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan kira-kira 60 meter dari Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama, antara jam 5.30 petang hingga 10.50 malam, 10 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Roslan Mohd Suki, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahkamah, bunuh, pesara tentera