Bunuh nenek disangka 'saka harimau', penganggur terlepas hukuman gantung


TERTUDUH sebelum ini didakwa membunuh mangsa pada 2015. — Agensi

SEORANG penganggur terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh neneknya yang berusia 78 tahun pada enam tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Has Zanah Mehat sebulat suara mendapati rayuan Maslizan Muhamad, 42, mempunyai merit.

Hakim Has Zanah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah berkata, hukuman tersebut diketepikan dan diganti dengan perintah bahawa Maslizan selaku perayu hendaklah dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan selaras dengan peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

"Isu utama yang dibangkitkan perayu adalah dalihan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK) yang ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi. Yang Arif hakim Mahkamah Tinggi salah arah kerana tidak menimbang dalihan yang dibawa perayu.

"Kami mendapati, terdapat hujahan yang mencukupi daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa perayu adalah figura yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan pada si mati dan akhirnya membawa kepada kematian.

"Berdasarkan fakta di atas, kami dengan ini membenarkan sebahagian rayuan perayu berkaitan sabitan dan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Has Zanah.

Hakim Has Zanah turut memerintahkan perayu ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor selama diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di bawah Seksyen 348 KTJ.

Pada 21 Ogos 2018, Maslizan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Terengganu selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Halimah Taib, 78, di depan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh, Putrajaya pada pukul 9.30 pagi pada 7 September 2015.

Terdahulu, peguam Ghazali Ismail yang mewakili Maslizan berhujah bahawa anak guamnya berada dalam keadaan tidak siuman ketika kejadian kerana dia menghidap penyakit mental.

"Perayu tinggal bersama neneknya (mangsa) dan dia mengalami masalah mental yang sangat bercelaru serta tidak dapat tidur kerana sentiasa berhalusinasi. Perayu mendengar bisikan halus iaitu mangsa ingin memberi ‘saka harimau’ kepadanya.

"Pada malam sebelum kejadian, perayu telah balik ke rumah dari masjid sebelum waktu subuh. Di rumah, perayu tetap tidak dapat tidur hanya sekadar terbaring di atas katil.

"Kira-jam pukul 10 pagi, perayu terdengar bunyi tapak kaki berjalan di luar rumah. Perayu membuka tingkap dan sangat terkejut serta takut apabila melihat mangsa seperti harimau dan cuba menerkamnya. Perayu terus ke dapur mendapatkan pisau lalu mengelar leher harimau tersebut,” kata peguam berkenaan.

Tambah Ghazali, saksi pembelaan kedua iaitu seorang pakar perunding psikiatri merumuskan perayu menghidap penyakit ‘schizophrenia’ yang merupakan sejenis penyakit mental yang digejali oleh pemikiran seperti delusi (iaitu kepercayaan palsu yang dipegang teguh tanpa boleh digoyah langsung), halusinasi, kecelaruan perasaan, perubahan tingkah laku serta kemerosotan fungsi psikososial.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhana Khalid berkata, perbuatan (tingkah laku) perayu menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan yang waras ketika menyebabkan kematian tersebut.

"Keterangan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang merupakan jiran si mati memberitahu bahawa beliau nampak si mati terbaring dan perayu ada duduk mencangkung di sebelah si mati sambil berkata: 'Saya minta maaf Pok Ki, kita bunuh doh dia (merujuk kepada si mati)'.

"SP2 seorang anggota polis dalam keterangan menyatakan bahawa semasa hendak menangkap perayu yang sedang berlegar-legar di tempat kejadian, perayu mengatakan 'aku nak serah diri' sambil menghulurkan tangannya ke hadapan.

"Selain itu, penemuan senjata yang digunakan untuk menetak si mati adalah atas maklumat perayu sendiri dan ia diterima oleh mahkamah," jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram