AHLI Dewan Negara yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guan Dee Kohoi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mendiang berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional.
Mendiang yang turut didapati positif Covid-19 mengadu sakit dada dan dimasukkan ke hospital sekitar jam 5 pagi Selasa sebelum meninggal dunia pada jam 4.45 petang hari yang sama.
Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, perkhabaran ini adalah berita yang menyedihkan dan parti itu kehilangan seorang pemimpin berkaliber.
"Beliau merupakan sekutu saya yang paling setia dan kawan yang paling saya sayangi.
"Beliau bersama saya melalui suka dan duka, walaupun ketika saya tidak mempunyai apa-apa, beliau tidak pernah meninggalkan saya," katanya menerusi satu kenyataan.
Kali terakhir Jeffrey berhubung dengan mendiang adalah pada jam 10 pagi Selasa ketika mendiang menghubunginya dari hospital.
"Beliau memberitahu saya bahawa beliau baik-baik sahaja dan tidak perlu risau. Dia memberi jaminan kepada saya dia akan keluar dalam masa tiga, empat hari. Ini benar-benar melukakan hati saya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram