Perompak 'bernafsu serakah' pecah masuk tiga premis termasuk PPV di Mersing


  • 112
  • Selasa, 26 Okt 2021

PENAHANAN suspek turut menjumpai dua jenis dadah jenis heroin dan metamphetamine. — Bernama

SEORANG perompak di Mersing, Johor seakan memiliki ‘nafsu besar’ apabila tidak pernah rasa cukup apabila memecah masuk tiga premis.

Tidak cukup dengan rumah dan kedai di sekitar bandar ini, suspek yang sudah pun ditahan turut memecah masuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan dan mencuri beberapa kelengkapan berharga di premis itu, pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supritendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.15 pagi hari yang sama dan hasil maklumat diterima, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun, Khamis lalu di Kampung Sri Lumpur pada jam 2.45 petang.

"Antara barangan yang dirampas dan dipercayai dicuri di PPV itu adalah dua buah monitor jenama HP, sebuah unit pemprosesan pusat (CPU) jenama HP, sebuah televisyen jenama Hisense, sebuah 'stand monitor' dan sebuah pendingin hawa mudah alih jenama Midea berserta pelbagai barangan lain yang disyaki hasil jenayah yang dilakukan suspek.

"Turut dirampas dadah jenis heroin kira-kira seberat 0.49 gram dan dadah jenis metamphetamine seberat 0.22 gram," katanya.

Cyril berkata, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah serta lapan kes berkaitan narkotik.

Dalam masa sama, Edward tidak menolak kemungkinan yang suspek sama melakukan kegiatan jenayah secara berkumpulan dan polis kini sedang giat mengesan saki-baki kumpulannya.

Edward berkata, hasil penahanan lelaki itu, pihaknya berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan kedai di daerah ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 A KK serta Seksyen 12 (3) Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram