Mahkamah kekal hukuman pemandu lori laku amang seksual


MAHKAMAH dapati proses penilaian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap kompetensi SP3 adalah menurut kehendak undang-undang dan tiada kesilapan.

RAYUAN pemandu lori untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan atas kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia empat tahun ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan untuk menolak rayuan Sulaiman Aswari, 44, itu dicapai secara sebulat suara di antara tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama dua lagi, Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun.

Hakim Vazeer Alam menjelaskan, selepas melakukan pertimbangan hujah kedua-dua pihak, meneliti keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan Sulaiman.

"Setelah menimbang isu-isu yang ditimbulkan oleh peguam perayu, kami dapati bahawa kompetensi saksi pendakwaan ketiga (SP3 iaitu mangsa) dinilai oleh hakim Mahkamah Sesyen dan beliau (hakim) membuat kesimpulan bahawa SP3 adalah seorang saksi yang kompeten bagi maksud Seksyen 17 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Kami dapati proses penilaian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap kompetensi SP3 adalah menurut kehendak undang-undang dan tiada kesilapan,” katanya.

Dalam masa sama, Hakim Vazeer Alam berkata, mahkamah juga mendapati laporan perubatan oleh dua pakar perubatan merupakan sokongan kepada keterangan SP3.

Untuk itu, tiada sebab untuk mengusik dapatan fakta serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

"Oleh demikian, kami dapati tiada merit dalam rayuan perayu dan dengan itu rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan dan hukuman bermula hari ini,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 3 April 2019 selepas didapati bersalah amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang diantara jam 10 pagi hingga 7 petang pada Februari hingga April 2018.

Sulaiman juga membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu namun rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di bawah jagaan pengasuh iaitu isteri kepada Sulaiman bermula 2016 hingga 8 Mac 2018 dan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung mangsa di Ipoh, Perak, mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa perayu yang dipanggil ayah melakukan amang seksual terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa semasa pemeriksaan semula, SP3 dengan jelas menyatakan bahawa perayu melakukan amang seksual terhadapnya.

"Ia juga disokong oleh keterangan dua pakar perubatan yang mengesahkan bahawa koyakan pada kemaluan mangsa adalah disebabkan objek tumpul seperti jari atau kemaluan lelaki,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram