Kanak-kanak bawah 12 tahun divaksin, kerajaan bincang polisi khas


  • Primer
  • Selasa, 26 Okt 2021

JAWATANKUASA Pemilihan Calon Vaksin KKM sedang melakukan penelitian terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas golongan itu. — Gambar hiasan/Agensi

KERAJAAN dalam peringkat perbincangan untuk mewujudkan polisi khas bagi membolehkan suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

Usaha yang sedang diambil ini menunjukkan yang kerajaan cukup mengambil berat segala hal membaitkan isu vaksinasi kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ketika ini kerajaan terbabit dalam beberapa kajian berkaitan pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

“Tidak boleh katakan kita tak ambil berat dalam isu vaksinasi kanak-kanak. Itu merupakan urusan kita ketika ini, melibatkan diri dalam beberapa kajian.

“Kita maklum di Amerika Syarikat sudah memutuskan pemberian vaksin jenis Pfizer kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Kita juga dalam perbincangan untuk mengadakan satu polisi supaya dapat gunakan vaksin itu di Malaysia,”katanya.

Aaron memberikan jawapan itu ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat).

Che Abdullah mengutarakan soalan mengenai kesan jika kanak-kanak bawah 12 tahun tidak divaksin dan adakah kerajaan hanya bergantung kepada vaksinasi golongan remaja.

Menjawab persoalan lain yang diutarakan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur), Aaron menjelaskan, Malaysia belum terima sebarang data daripada syarikat pengeluar vaksin.

Namun, Aaron berkata, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan penelitian terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas golongan itu.

Aaron juga bertegas yang penelitian itu berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal serta data sebenar di peringkat dunia.

"Setakat ini, beberapa kajian klinikal sudah dan sedang dijalankan termasuk pada September lalu. Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal fasa tiga bagi usia lima tahun hingga kurang 12 tahun.

"Vaksin ini didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tidak balas antibodi peneutralan yang kuat.

“Melalui kenyataan media Pfizer-BioNTech pada 15 Oktober lalu, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA),” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin kanak-kanak, pfizer, covid-19