KKM terima 156 aduan produk bayi


  • Primer
  • Isnin, 25 Okt 2021

KHAIRY mengingatkan syarikat produk bayi supaya sentiasa mematuhi amalan etika yang telah ditetapkan. — The Star

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan tindakan penalti kepada 62 syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan dalam tempoh 2020-2021.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tindakan itu diambil berdasarkan 156 aduan aduan awam yang diterima.

Katanya, tindakan yang diambil adalah seperti amaran bertulis, penggantungan penapisan bahan untuk satu ke dua tahun, pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Selain itu kita juga membuat pemberitahuan kepada Persatuan Antarabangsa Pengeluar-Pengeluar Makanan bayi, kenyataan akhbar dan terakhir disenarai hitam bagi pelanggaran Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan yang diadukan.

“Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan sejak tahun 1979 berdasarkan kepada International Code of Breast-milk Substitutes dan resolusi-resolusi World Health Assembly yang berkaitan.” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, matlamat pelaksanaan tata etika itu adalah untuk melindungi dan mempertahankan amalan penyusuan susu ibu.

“Ia juga bertujuan untuk melindungi ibu-ibu daripada pengaruh promosi dan pengiklanan produk berkaitan yang tidak beretika.

“Sehubungan itu, semua syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan diingatkan agar sentiasa mematuhi amalan etika yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KKM, Khairy Jamaluddin, aduan, produk bayi