Kerajaan cadang tubuh unit khas basmi kemiskinan


  • Primer
  • Isnin, 25 Okt 2021

MUSTAPA berharap negeri dan daerah dapat mengambil tindakan yang sama selain melaksanakan lebih banyak lagi pendekatan di peringkat akar umbi. — The Star

SEBAGAI sebahagian langkah bottom-up approach untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan bercadang untuk menubuhkan unit khas bagi membasmi kemiskinan.

Perkara itu dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada Isnin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau turut berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, beberapa pegawai di peringkat pusat akan ditugaskan semula untuk penubuhan unit tersebut.

“Kita juga mengharapkan apabila unit itu direalisasikan, Kerajaan Negeri serta Daerah dapat melakukan perkara yang sama, supaya agenda membasmi kemiskinan itu dapat dilakukan dengan lebih holistik.

“Antara cadangan yang diterima adalah memberi perhatian lebih kepada miskin tegar. Di Pusat, kita akan melalui penugasan semula pegawai, dan akan menubuhkan sebuah unit untuk membasmi kemiskinan,” katanya.

Tambahnya lagi beliau berharap negeri dan daerah dapat mengambil tindakan yang sama selain melaksanakan lebih banyak lagi pencekatan, atau bottom up approach.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu – Libaran) di Dewan Rakyat.

Zakaria juga ingin mengetahui langkah Kerajaan utnuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 yang beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40, akibat impak Covid-19.

Mustapa berkata, pendapatan purata isi rumah pada 2020 telah menurun sebanyak 10.3 peratus, dengan lebih 600,000 isi rumah M40 telah beralih kepada B40.

Data itu berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan.

“Biarpun kerajaan lebih mensasarkan B40, beberapa langkah dan strategi juga telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup golongan B40 dan M40.

“Tanda-tanda pemulihan sejak Ogos lalu, kadar pengangguran jatuh kepada 4.6%, indeks pembuatan naik 6.8 peratus, dan apabila ekonomi negara pulih, lebih banyak perniagaan dibuka lebih ramai bekerja,” ujarnya.

Katanya lagi, seperti diumumkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz), Bajet 2021 bertemakan memulih kehidupan, membina daya tahan, dan memangkin daya ketahana. Langkah-langkah untuk meringankan beban rakyat diumumkan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram