Iklan kerja kosong meningkat


  • Massa
  • Isnin, 25 Okt 2021

KATEGORI profesional menjadi tawaran yang paling banyak ditawarkan pada 2021. — Gambar hiasan/The Star

IKLAN jawatan kosong di atas talian naik mendadak pada suku kedua tahun 2021, merekodkan 90,502 berbanding hanya 19,169 pada suku kedua tahun lalu.

Daripada rekod itu, lima pekerjaan dikelaskan paling popular iaitu bidang profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangun perisian.

Angka peningkatan jumlah itu diperoleh hasil Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia yang dilancarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu melangkaui jumlah kekosongan jawatan diiklankan pada suku keempat 2019 iaitu 90,437.

Mohd Uzir berkata, kategori profesional merekodkan penawaran 50.8 peratus diikuti pekerja kategori juruteknik dan profesional bersekutu (19.2 peratus) serta pengurus (18.4 peratus).

"Meneliti kepada kekosongan pekerjaan diiklankan mengikut negeri pada suku kedua 2021, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi iaitu 46.6 peratus.

“Diikuti Selangor (19.6 peratus), Johor (7.1 peratus), Pulau Pinang (6.2 peratus) dan Perak (1.4 peratus)," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, inisiatif terbaharu DOSM ini membantu pelbagai pihak terutamanya pencari kerja untuk mengetahu peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Analisis data raya ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak terutama Kementerian Sumber Manusia dan agensi di bawahnya.

"Justeru pengguna terutama pencari kerja boleh mengakses maklumat terkini penawaran pekerjaan secara suku tahunan di www.dosm.gov.my/bda-jmi dan myjobprofile.dosm.gov.my," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kerja kosong, pengiklanan, atas talian