E-voting kaedah terbaik pilihan raya, kata pakar IT


  • Massa
  • Ahad, 24 Okt 2021

KESEDARAN awam dan prosedur berhubung sistem e-voting perlu dijelaskan kepada masyarakat.

MENGUNDI secara dalam talian (e-voting) merupakan kaedah yang terbaik dalam norma baharu untuk pilihan raya di Malaysia pada masa kini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang, Dr. Al-Fahim Mubarak Ali.

Menurut beliau, e-voting boleh dilaksanakan dengan selamat di negara ini memandangkan keselamatan siber negara berada pada tahap yang terbaik untuk membendung risiko digodam.

dr fahim UMP

AL-Fahim mencadangkan supaya satu organisasi khas perlu ditubuhkan bagi memastikan sistem ini dapat diaplikasi secara selamat.

“Kemungkinan pengodaman sistem sentiasa berlaku, namun begitu dengan pembangunan sistem secara selamat (secure) sedikit sebanyak menghalang ia daripada beraku.

“Di samping itu, pemantauan berterusan terhadap serangan siber oleh pihak berkuasa seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) juga membantu dalam keselamatan siber negara,” katanya kepada Majoriti

Tambahnya lagi, bagaimanapun dalam menggunakan e-voting, kesedaran awam dan prosedur berhubung sistem itu perlu dijelaskan kepada masyarakat.

Beliau juga mencadangkan supaya satu organisasi khas perlu ditubuhkan bagi memastikan sistem ini dapat digunakan secara selamat terutama dalam melindungi data peribadi rakyat.

“Jika ada organisasi khusus, sistem ini dapat dipantau sepenuhnya daripada proses pembinaan, pengurusan dan penjagaan data peribadi.

“Pekara ini penting kerana jika adanya organisasi ini, orang ramai mempunyai rujukan tentang saluran yang betul untuk mereka berkongsi data peribadi berhubung pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Al-Fahim juga menekankan selain kebimbangan tentang e-voting satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah penyebaran berita palsu.

Katanya, dalam pilihan raya berita palsu mampu melumpuhkan kelancaran proses itu yang mana mudah mempercayai berita palsu adalah kelemahan rakyat masa kini.

“Penyebaran berita palsu bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan lebih-lebih lagi semasa pilihan raya.

“Oleh yang demikian, masyarakat perlu ambil kesedaran supaya tidak sewenangnya percaya pada berita palsu dalam tempoh pilihanraya berlangsung,” kongsinya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

e-voting, PRU, PRN, godam, keselamatan siber, NACSA, CSM