Analisis Data Raya pertingkat kecekapan pasaran buruh tempatan


  • Bizz
  • Isnin, 25 Okt 2021

MUSTAPA turut memaklumkan sebanyak 90,502 pekerjaan ditawarkan berbanding 19,169 pekerjaan pada suku kedua 2020. — Bernama

LANGKAH Jabatan Perangkaan Malaysia melaksanakan Analisis Data Raya (Big Data Analytics) Job Market Insights dan My Job Profile adalah satu inisiatif yang relevan bagi meningkatkan kecekapan pasaran buruh di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed, menerusi Analisis Data Raya, ia juga diharap dapat menangani masalah struktur dalam pasaran buruh yang mengakibatkan penggunaan bakat tempatan yang tidak optimum.

Mengikut data terkini, sebanyak 37.7 peratus pekerja yang mempunyai pendidikan tinggi bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah pada suku kedua tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan Job Market Insight, bagi suku kedua tahun ini, sebanyak 90,502 pekerjaan ditawarkan berbanding 19,169 pekerjaan pada suku kedua 2020.

Jelasnya, statistik berkenaan merupakan satu petanda positif yang boleh digunakan dalam mengukur pemulihan ekonomi negara kerana perubahan besar diperlukan dalam pasaran buruh untuk mencapai transformasi negara dan menjayakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

"Kerajaan juga bercadang melalui Kementerian Sumber Manusia mewujudkan satu pusat sehenti untuk menghimpunkan semua bekalan graduan universiti termasuk dalam teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan penawaran jenis-jenis permintaan oleh pelbagai industri termasuk dalam sektor digital.

"Kita berharap dengan membangunkan platform tunggal ini, ia dapat menangani isu ketidakpadanan dalam sektor buruh," katanya sambil menambah ia merupakan antara langkah penambahbaikan yang sedang dirancang kerajaan.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran Analisis Data Raya (Big Data Analytics) Job Market Insights dan My Job Profile: Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia Bagi Suku Kedua 2021 oleh Jabatan Perangkaan yang diadakan secara maya pada Isnin.

Tambah Mustapa, berlandaskan usaha negara untuk pulih daripada pandemik Covid-19 data yang bakal dijana ini akan menjadi rujukan penting kepada pelajar, graduan, pencari pekerjaan dan yang sedang menganggur untuk merancang kerjaya dan masa depan mereka.

Jelasnya, ia juga penting kepada pemegang taruh seperti penggubal dasar dan yang mengendalikan pendidikan dalam bidang berkaitan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta digital untuk merancang program berkaitan pembangunan kerjaya dan pembangunan kemahiran yang diperlukan dengan lebih baik lagi.

"Kalau saya pelabur atau dari industri, saya juga ingin tahu apakah kemahiran yang dikeluarkan dan bakal dikeluarkan dalam negara ini untuk tempoh terdekat.

"Justeru, kita perlu terus bina angka-angka yang mantap berkaitan pasaran buruh ini dan berharap ia akan membawa masuk lebih banyak pelaburan ke Malaysia," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram