KES seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin pada 3 Oktober lalu memerlukan perincian lanjut oleh pihak berwajib, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keputusan ujian sampel tisu badan yang dijangka akan diperoleh pada 24 hingga 28 Oktober ini perlu diteliti sehabis baik.
"Insiden itu tidak boleh sesekali dianggap sebagai terpencil dan memerlukan pencerahan yang sangat jelas kepada masyarakat umum.
"Jika ada sebarang penemuan membimbangkan, mungkin wajar diwujudkan prosedur operasi standard (SOP) tambahan dalam proses vaksinasi ke atas golongan remaja," katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian susulan laporan media mengenai kematian seorang remaja, Noor Hayati Nabila Abdullah, yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu selepas beberapa hari menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, beliau tidak menafikan kepentingan vaksinasi sebagai mekanisme membendung pandemik Covid-19, tetapi kes tersebut menimbulkan persoalan.
"Saya percaya seluruh rakyat Malaysia turut berasa sedih selepas mendapat tahu tentang kes tersebut dan mahukan kebenaran dirungkai," katanya.
Beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan sama ada waris remaja perempuan itu layak menerima Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu mengesahkan, Noor Hayati Nabila disahkan mempunyai ketumbuhan pada ovari serta masalah struktur jantung selepas pemeriksaan dijalankan terhadapnya.
Menurutnya, kesemua sampel tisu badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Pada Jumaat, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi memuatnaik satu gambar di Facebook menunjukkan beliau pergi melawat keluarga remaja tersebut.
Menerusi hantaran itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengeluarkan keputusan bedah siasat dengan telus dan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram