Menyamar bot nelayan cuba seludup dadah di Tanjung Kling


  • 112
  • Ahad, 24 Okt 2021

BOT berkenaan ditemukan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim pada jam 10.50 malam Sabtu. — Bernama

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengesan sebuah bot disyaki menyamar sebagai bot nelayan tradisional yang cuba menyeludup dadah keluar negara di perairan Tanjung Kling, Melaka Tengah pada malam Sabtu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzilah Abdullah berkata, dalam kejadian itu, bot berkenaan ditemukan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim pada jam 10.50 malam.

Beliau berkata, apabila sedar dengan kehadiran Maritim, suspek mencampakkan satu objek keatas beting berbatu sebelum memecut laju untuk melarikan diri semasa dikejar, dan bot itu hilang di kawasan yang cetek dan gelap.

"Ketika berpatah balik ke lokasi objek yang dicampak, pasukan operasi telah menemukan satu beg hitam yang berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Haris berkata, barang kes kemudiannya dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36,000.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

maritim, seludup, dadah, bot, nelayan, haris fadzillah