Buang bayi dalam tong sampah, pelajar tingkatan lima ditahan bantu siasatan


  • 112
  • Sabtu, 23 Okt 2021

LOKASI mayat bayi itu dibuang di Taman Bagan, Butterworth, Pulau Pinang pada Sabtu. — Bernama

SEORANG pelajar tingkatan lima ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di Flat B4, Taman Bagan, Butterworth, Pulau Pinang pada Sabtu.

Remaja perempuan berusia 17 tahun dan tinggal di perumahan sama itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 6 petang tadi selepas jirannya mendapati remaja itu mengalami tumpah darah dan dalam kesakitan semasa berada di rumahnya.

Menurut sumber polis, remaja tersebut mengaku melahirkan bayi perempuan cukup sifat di dalam tandas rumahnya pada Jumaat, hasil hubungan seks bersama teman lelakinya yang juga berusia 17 tahun.

"Remaja berkenaan memaklumkan, ketika itu hanya adiknya yang berusia enam tahun berada di rumah. Ayahnya keluar bekerja manakala ibunya tinggal berasingan kerana bercerai.

"Remaja itu mendakwa anaknya meninggal dunia ketika dilahirkan kerana tidak menangis atau mengeluarkan sebarang bunyi. Dia yang panik terus membalut bayi tersebut menggunakan kain lalu membuangnya ke dalam tong sampah berhampiran flat itu," katanya.

Menurut sumber itu lagi, bapa remaja terbabit tidak mengesyaki apa-apa kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sering berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Tambah sumber berkenaan, jiran remaja itu yang mendapati dia dalam keadaan kesakitan dan tumpah darah terus menghubungi ambulans serta pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut tentang kejadian tersebut sedang dilakukan.

"Remaja itu sedang menerima rawatan di HSJ dan dia akan ditahan selepas rawatan selesai. Mayat anaknya turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," ujarnya.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya sedang mengesan teman lelaki remaja terbabit yang juga rakan sekolahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mayat bayi itu ditemukan pada 9.35 pagi Sabtu oleh seorang penduduk dan dua lelaki warganegara Myanmar yang sedang menjalankan kerja pembersihan serta mengutip sampah di kawasan flat tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram