
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan amalan melantik kontraktor penyelamat perlu dihentikan dalam menyiapkan projek kerajaan tetapi sebaliknya meminta pemantauan lebih ketat dibuat sejak dari awal projek berkenaan dijalankan.
Jelas beliau, kontraktor yang lewat atau gagal menyiapkan projek bukan hanya menjejaskan harapan kerajaan negeri dan rakyat tetapi turut melibatkan kos yang tinggi.
"Kontraktor sedia ada sekarang perlu dipantau kerjanya sehingga siap kerana jika melibatkan kelewatan, pastinya harapan penduduk sekitar kawasan ini dan kerajaan untuk mendapatkan hospital akan terjejas dan lebih merugikan, adalah kos yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di Kuching, Sarawak pada Sabtu.
Berkenaan HPJ, kontraktor penyelamat memulakan projek menyiapkan baki kerja terbengkalai sejak awal tahun ini dan hospital berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
HPJ pernah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ apabila projek itu yang dijadualkan siap pada November 2016 tertangguh ekoran kelewatan pembinaan.
Ketika ditanya sama ada Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober nanti mempunyai berita baik untuk Sarawak, Ismail berkata: "Insya-Allah, kalau saya umum hari ini (Sabtu), anda tak nak tengok pengumuman (pembentangan Belanjawan) nanti, tunggu."
Berhubung pilihan raya negeri Sarawak, Ismail mengesahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membentangkan lagi kaedah atau prosedur operasi standard (SOP) sekiranya pilihan raya itu diadakan dalam masa terdekat.
"Belum lagi, jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong. Pembubaran, menetapkan tarikh dan untuk menarik balik perintah darurat, itu semuanya kuasa Yang di-Pertuan Agong. Jangan kita mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tunggu sahaja," tambahnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram