Bajet 2022: Jangan perkenal cukai baharu, atasi ketirisan rasuah


  • Massa
  • Sabtu, 23 Okt 2021

RASUAH menyebabkan negara kerugian lebih empat peratus daripada KDNK. — Gambar hiasan/Bernama

KERAJAAN diharapkan tidak memperkenalkan cukai baharu dalam pembentangan Bajet 2022 untuk meningkatkan hasil negara tetapi harus menangani isu ketirisan dengan memperketatkan kawalan perbelanjaan bagi mencegah rasuah.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, kerajaan dijangka membentangkan belanjawan defisit pada Bajet 2022.

Beliau berkata, rasuah menyebabkan negara kehilangan kemasukan pelaburan yang banyak kerana keyakinan pelabur menurun disebabkan kelebihan diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

"Rasuah juga menyebabkan negara kerugian lebih empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sekitar RM64 bilion setiap tahun.

"Sekiranya ia dikawal dengan baik, tiada sebab kerajaan perlu memperkenalkan cukai baharu kerana hasil daripada pengawalan tersebut akan membolehkan ia dibelanja bagi mendapat hasil yang sama,” ujarnya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Jelas Ahmed Razman, sekiranya harga komoditi seperti minyak, minyak sawit mentah dan getah berada pada kadar yang tinggi seperti sekarang serta berterusan sehingga tahun depan, hasilnya sudah mencukupi untuk membiayai bajet tersebut sekiranya tidak berlaku banyak ketirisan.

Beliau turut menjangkakan akan terdapat banyak insentif yang akan diberikan pada Bajet 2022 kerana kali ini adalah istimewa selain daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), ia mungkin boleh menjadi belanjawan pilihan raya.

"Sekiranya pilihan raya umum akan diadakan pada tahun depan (2022) dan Undi18 dilaksanakan maka ia akan membentuk belanjawan populis, ini akan menjadi masa untuk memberi ‘gula-gula pilihan raya’,” katanya lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmed Razman, Bajet 2022, ekonomi, rasuah, PRU15